Kebudayaan Melayu dalam Bahan Sastera (Puisi moden)

Puisi moden

Puisi merupakan sebahagian daripada kesenian yang digunakan oleh manusia untuk menyatakan dan melahirkan sesuatu. Puisi menjadi sumber kreativiti manusia kerana baris-baris puisi dihasilkan dalam pelbagai bentuk untuk melahirkan pemikiran sesorang pemuisi. Puisi moden berbentuk bebas dan tidak mempunyai ciri-ciri yang khusus seperti bebas dari segi jumlah suku kata, baris dan pembentukan rima. 

Konsep puisi moden

Puisi moden berfungsi sebagai didaktik untuk memberikan pengajaran dan pendidikan kepada khalayak. Puisi moden terbahagi kepada beberapa jenis iaitu:


  • Puisi sinis ialah sejenis puisi yang ingin menyindir dan menyampaikan isu-isu sensitif seperti isu peribadi dan isu nasional.
  • Puisi elegi ialah puisi yang memuatkan soal-soal kesedihan terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa yang menimpa individu atau masyarakat sekeliling.
  • Puisi romantik membicarakan perkara yang berkaitan perasaan romantis dan cinta sesama manusia.
  • Puisi nasionalisme merujuk kepada puisi yang membincangkan soal-soal kecintaan kepada tanah air.
  • Puisi protes yang kebanyakannya dicipta pada zaman penjajahan bagi masyarakat melahirkan kebencian terhadap penjajah.
Puisi moden: Sajak

Sajak merupakan ciptaan hasil kesenian untuk menyampaikan mesej tentang sesuatu. Sajak juga berbentuk bebas dan tidak terikat pada jumlah baris, jumlah perkataan, rangkap, rima dan lain-lain. Sajak terbahagi kepada beberapa jenis berasaskan bentuk dan alirannya. Jenis sajak berasaskan bentuk adalah seperti berikut:

  • Sajak bebas
Sajak bebas bermaksud tidak menggunakan ciri penulisan tradisional seperti penggunaan rima, rangkap, ayat dan sebagainya. Ini memberikan peluang dan nafas baru kepada penulis untuk menonjolkan proses penulisan yang lebih segar dan bebas untuk bersuara. 





  • Sajak terikat / konvensional
Sajak terikat atau konvensional merupakan sajak yang terikat kepada pembentukan rima akhir, jumlah baris dalam setiap rangkap, jumlah perkataan dan suku kata yang dimuatkan dalam setiap baris dan rangkap. Sajak ini masih terpengaruh dengan puisi tradisional seperti pantun dan syair. Ciri-ciri konvensional masih ketara kerana adanya kepentingan dari aspek bunyi-bunyi bahasa dan kepanjangan baris dalam setiap rangkap.


Sajak Di tengah Sengara menunjukkan rima hujung (a-b-a-b) dan mempunyai empat baris dalam setiap rangkap.



Sajak Salam Benua karya Usman Awang menunjukkan rima akhir (a-a-a-a)


  • Sajak separuh terikat / separuh bebas
Sajak separuh terikat ini tidak dipengaruhi oleh puisi Melayu tradisional. Sajak ini lebih memberi penekanan pada zaman, masa dan isu-isu yang berlaku dalam masyarakat. Namun, sajak ini terpengaruh dengan aspek-aspek semasa yang memberi kesan sampingan kepada penulisnya. Terdapat beberapa aliran bagi sajak separuh terikat ini iaitu:

  1. Sajak romantis
  2. Sajak eksistensialime
  3. Sajak realisme
  4. Sajak patriotisme
  5. Sajak melankolik
  6. Sajak protes

Puisi moden: Struktur sajak
  • Tema
Tema ialah perkara asas yang menjadi perbincangan utama penulis dan sesuatu isu yang menjadi inti mesej yang ingin disampaikan. Persoalan utama yang dibicarakan dalam karya sama ada secara eksplisit atau implisit adalah tema yang menjadi pokok perbincangan sesebuah karya.

  • Persoalan
Persoalan bererti perkara sampingan yang masih menjadi fokus perbincangan kepada isu-isu yang akan ditulis oleh pengarang. Persoalan melibatkan isi sampingan yang berhubung dengan tema sesuatu karya.

  • Mesej
Mesej pula ialah perkara-perkara yang ingin dijadikan iktibar dan pengajaran yang dapat dinilai melalui penceritaan yang dibuat oleh pengarang. Mesej yang tersirat akan mengajar penonton untuk berfikir lebih mendalam.

  • Gaya bahasa
Gaya bahasa merujuk kepada cara seseorang penulis menggunakan daya kreativitinya untuk menyampaikan fikiran dengan menggunakan ayat-ayat tersendiri. Setiap penulis mempunyai gaya penulisan yang berbeza sama ada penulisan yang ringkas atau penulisan yang sukar difahami secara lansung. Namun, penulis-penulis ini tetap mempunyai metod dan gaya tersendiri.


Puisi moden: Fungsi sajak Melayu

  • Mampu mengaktifkan taakulan pembaca dan menawarkan pengalaman estetik dengan nilai keindahan yang memukau.
  • Dapat memperkaya bahasa dan meluaskan skop tema dan persoalan melalui pembacaan yang meluas dalam pelbagai bidang.
  • Mendidik dan menghibur adalah dua ciri utama puisi khusunya sajak.
  • Menjadi idaman oleh pembaca dan pendengarnya melalui isi dan keindahan sajak itu sendiri.
  • Meninggalkan kesan intelektual dan pemikiran yang baik kepada pembaca.
  • Memberi nafas baru kepada penulis untuk meluahkan apa yang ingin disampaikan melalui penulisan sajak yang bebas.
  • Berjaya menimbulkan kontroversi dalam pemikiran pembaca. 














Comments

Popular posts from this blog

Lagu Rakyat 2 (Kelantan dan Terengganu)

Lagu Rakyat 1 ( Kedah, Pulau Pinang, Perak)